Saturday, January 31, 2009

Pembangkang perlu menang 110 kerusi Parlimen terajui kerajaan
Muhammad Yusri Amin Tue Dec 11, 07 2:19:05 pm MYT
KOTA BHARU, 11 Dis (Hrkh) – Pakatan pembangkang di negara ini perlu memenangi sekurang-kurang 110 kerusi pada pilihan raya umum akan datang bagi membolehkan kerajaan baru dibentuk.
Jumlah tersebut adalah separuh daripada bilangan kerusi di parlimen sekarang. Dan jumlah yang sama juga dimenangi Umno pada pilihan raya umum Mac 2004.
Bilangan kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya tersebut sebanyak 199 daripada 219 kerusi Parlimen, manakala pembangkang memenangi 20 kerusi iaitu PAS (enam), DAP (12) dan PKR serta Bebas masing-masing satu kerusi.
Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata, sekiranya pembangkang mampu meraih 110 kerusi pada pilihan raya umum akan datang, sudah tentu kerajaan baru dapat dibentuk di Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang peserta Seminar Memperkasakan Solat Melalui Pendidikan dan Penguatkuasaan Undang-Undang di Balai Islam, dekat sini baru-baru ini.
Sebelum itu ketika membentang kertas kerja bertajuk ‘Peranan Undang-Undang Dalam Penghayatan Solat’ katanya, ada dua jenis undang-undang dalam sistem perundangan di negara ini iaitu undang-undang yang diluluskan dewan perundangan sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam bentuk Akta atau Enakmen.
Keduanya, undang-undang kecil yang selalunya dilulus pihak eksekutif atau kerajaan.
“Selain itu mahkamah juga turut membuat undang-undang dalam bentuk proses penghakimannya ketika membuat keputusan sesuatu kes yang dibicarakan dan ia mesti tertakluk kepada kerangka dan ketetapan Perlembagaan,” katanya.
Mengenai undang-undang atau peraturan mengenai solat, kata beliau ia adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Menurutnya undang-undang syariah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Pada seminar itu beliau juga menjelaskan kerajaan Pusat mahu rakyat mematuhi undang-undang ditetapkan dalam perlembagaan, sebaliknya mereka melanggarnya sesuka hati.
Mengenai pemerkasaan solat katanya, pihak berkuasa hendaklah lebih berhati-hati dalam melaksanakan peraturan mengenainya kerana ia mudah diputarbelit media massa.
“Misalnya isu kharaj di Terengganu sebelum ini menimbulkan kontroversi sehingga diberi imej negatif pihak lawan terhadap perundangan Islam,” katanya.
Turut menjadi ahli panel pada seminar anjuran Jabatan Hal Agama Islam Kelantan, ketua pegawai eksekutif Kolej Teknologi Kelantan Darulnaim, Dr Abdullah Sudin.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home