Sunday, September 24, 2006

Pemimpin Melayu tidak berkualiti?

Pemimpin Melayu tidak berkualiti?
Muda Mohd noor
Sep 23, 06 Malaysiakini

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DEB), Datuk Dr Hassan Ahmad berkata ramai yang beranggapan bahawa kuasa politik orang Melayu masih kuat, tetapi pada hakikat sebenarnya ia semakin lemah.

Katanya, ianya berlaku kerana orang Melayu tidak bersatu dalam politik kerana mereka yang tidak sealiran akan dianggap sebagai musuh.

“Orang Umno kata orang PAS musuh dan sebaliknya. Jika orang yang menyertai parti alternatif juga dianggap musuh,” tambahnya.

Menurutnya, kelemahan orang Melayu ialah pemimpin mereka termasuk alim ulama tidak berkualiti dalam bidang bidang, termasuk ekonomi, politik dan pendidikan.

Mengenai ekonomi, Dr Hassan berkata dasar penswastaan kerajaan yang bertujuan untuk melatih orang Melayu dalam bidang pengurusan ekonomi gagal kerana kerajaan melantik mereka yang tidak berkemampuan untuk melaksanakannya.

Menurutnya, sebahagian besar mereka yang menggerakkan dasar penswastaan adalah orang Melayu.

Diejek bangsa sendiri

“Akibat daripada kegagalan tersebut mereka telah diejek oleh orang Melayu sendiri. Orang Melayu tidak percaya kepada bangsa mereka sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis dialog Kongres Kepentingan Bangsa peringkat Wilayah Persekutuan di ibu negara semalam.

Dua lagi anggota panel adalah bekas Pengarah Institut Teknologi Mara (ITM), Tan Sri Dr Arshard Ayub dan bekas Pengerusi Malaysia Airports Holding Berhad (MAB) Tan Sri Basir Ismail.

Dr Hassan berkata, dasar penswastaan yang diperkenalkan pada awal 80-an oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah untuk menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk menyusun semula ekonomi khususnya membantu orang Melayu.

“Tetapi apa yang berlaku kepada dasar itu? DEB sendiri tidak menguntungkan orang Melayu,” katanya lagi.

Sementara itu, Basir berkata, identiti Melayu sudah ditukar menjadi bumiputera tetapi tidak ada pihak yang mempedulikannya.

Katanya, penukaran istilah tersebut adalah salah kerana orang Melayu dan bumiputera adalah berbeza.

“Apakah orang Melayu sama dengan kaum minoriti di Sabah dan Sarawak? Oleh itu kita kena jaga masyarakat kita. Kalau kita tidak menjaganya, apa akan terjadi kepada negara kita pada masa akan datang,” katanya.

Istilah Melayu

Menurutnya, bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein tidak menukar istilah Melayu menjadi bumiputera apabila beliau memperkenalkan DEB pada 1970.

“Tetapi dalam buku Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) tidak ada satupun istilah Melayu...semuanya menjadi bumiputera,” tambahnya.

Arshard pula menggesa supaya kerajaan mengkaji semula dasar pendidikan dengan mengadakan lebih banyak kursus kemahiran dan vokesional.

Beliau berkata, ini kerana orang Melayu masih memandang kepada ijazah dan bukannya kemahiran yang mereka perolehi dari pusat pengajian tinggi.

“Jangan hanya memikirkan untuk memasuki universiti sahaja. Adakah orang yang kelulusannya lebih rendah mahu memasuki universiti juga?

“Saya mencadangkan anak-anak muda yang gagal memasuki universiti mencari kemahiran dan bekerja dalam bidang itu,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home