Isu Mandarin: Malaysia bukan China atau Hong Kong, kata PKR
Isu Mandarin: Malaysia bukan China atau Hong Kong, kata PKR
Muda Mohd Noor
Jun 1, 06 5:25pm
Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengingatkan para majikan dan syarikat swasta di negara ini bahawa Malaysia bukan China, Hong Kong atau Taiwan yang memerlukan pekerjanya boleh berbahasa Mandarin.
Sehubunga itu, Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ang Hiok Gai menggesa kerajaan supaya bertindak tegas terhadap majikan yang mengenakan syarat berbau perkauman itu, dalam pengambilan pekerja mereka.
Tambahnya, gejala berbaur perkauman itu, jika tidak dihentikan, dikhuatiri ia akan menjejaskan usaha memupuk semangat muhibah di negara ini.
Beliau berkata, syarat yang mewajibkan pekerja menguasai Bahasa Mandarin adalah tidak perlu bagi syarikat yang beroperasi di Malaysia .
Ang berkata, jika majikan Cina memerlukan pekerja yang boleh berbahasa Mandarin, pihak syarikat patut menyediakan latihan untuk membolehkan pekerja mereka mempelajari bahasa berkenaan.
Katanya, kebanyakan yang cenderung mengambil pekerja yang boleh berbahasa Mandarin adalah syarikat bersaiz kecil, terutama yang diwarisi turun temurun.
Bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Zainal Rampak pula berkata, pihak berkenaan perlu mengambil tindakan tegas untuk memperbetulkan keadaan itu.
Kesilapan kerajaan
Katanya, jika tidak diperbetulkan, dibimbangi ia akan menimbulkan syak wasangka dan pandangan serong di antara kaum di Malaysia.
“Sepatutnya yang diutamakan ialah pekerja yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu atau Inggeris.
“Pandangan bahawa pekerja mesti menguasai bahasa Mandarin adalah pendapat yang cetek, lapuk dan berbau perkauman dan amat tidak sesuai dengan negara berbilang kaum di Malaysia,” kata Zainal lagi.
Sementara itu, Setiausaha Pengelola Kongres Kepentingan Bangsa Melayu, Datuk Ibrahim Ali pula mahu kerajaan bertindak segera bagi mengatasi isu ini.
Beliau bimbang jika IA tidak diatasi segera, kemungkinan syarikat orang Melayu pula akan mengenakan syarat berbaur perkauman.
Katanya, syarikat yang mengenakan syarat berbaur perkauman menunjukkan mereka tidak menghormati undang-undang negara yang mewartakan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
“Kerajaan juga bersalah kerana tidak menguatkuasakan undang-undang penggunaan Bahasa Melayu, tetapi sebaliknya membiarkan penggunaan bahasa lain secara berleluasa,” katanya.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home