Saturday, March 25, 2006

Peguam: Perlembagaan tidak benarkan umat Islam murtad

Peguam: Perlembagaan tidak benarkan umat Islam murtad
Muda Mohd Noor
Mar 24, 06 6:31pm
Malaysiakini



Persatuan Peguam Syariah Malaysia menegaskan bahawa kerajaan perlu menjelaskan proses pertukaran nama dan agama di kalangan umat Islam kerana Perlembagaan Negara tidak membenarkan umat Islam murtad.

Sehubungan itu, Presidennya, Muhamad Burok bertanya pihak manakah yang membenarkan umat Islam menukar agama mereka.

“Kerajaan dan menteri tidak mempunyai kuasa untuk membenarkan orang Islam murtad. Pejabat Agama Islam tidak boleh meluluskan permohonan orang Islam menukar agama.

“Hanya Mahkamah Syariah yang boleh meluluskan pengisytiharan umat Islam untuk keluar agama. Tetapi tidak semua Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai 100 orang Melayu memohon menukar nama dalam MyKad berikutan penukaran agama dan 10 daripadanya telah diluluskan.

Perkara tersebut terkandung dalam jawapan bertulis Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad kepada Ahli Parlimen DAP kawasan Seputeh, Teresa Kok mengenai perkara tersebut di Dewan Rakyat semalam.

Radzi menyatakan di parlimen bahawa JPN telah menerima 100 permohonan dari orang Melayu untuk menukar nama dalam kad MyKad kerana bertukar agama dan sepuluh daripadanya telah diluluskan, empat ditolak dan 86 lagi sedang diselidik.

Mereka ada antara 9,788 pemohon pelbagai kaum, yang memohon untuk menukar nama dalam MyKad kerana bertukar agama, yang telah diterima kerajaan dari tahun 2001 hingga 2005.

Proses undang-undang

Bagaimanapun, jawapan menteri tersebut telah menimbulkan tandatanya kerana ia tidak menjelaskan sebab musabab pertukaran nama itu dibenarkan.

Sehubungan itu, Muhamad bertanya adakah orang Melayu yang dibenarkan berbuat demikian telah murtad?

Beliau juga ingin tahu adakah penukaran nama oleh JPN itu dibuat melalui proses undang-undang, iaitu setelah mendapat kebenaran Mahkamah Syariah.

“JPN hanya boleh menukar nama orang Islam yang telah menukar agama setelah mendapat kebenaran Mahkamah Syariah,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub turut bertanya apakah prosedur yang digunakan oleh JPN untuk meluluskan permohonan orang Melayu menukar nama mereka kerana bertukar agama.

“Kes ini perlu diselesaikan oleh Mahkamah Syariah kerana mereka yang diberi kuasa untuk menangani kes itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Che Mat Ali enggan mengulas perkara tersebut kerana belum mendapat maklumat lanjut mengenainya.

Katanya, beliau juga akan merujuk perkara itu dengan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Mohd Zain sebelum membual ulasan lebih lanjut.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home