Saturday, March 25, 2006

Kit Siang: Tiada bukti bukan Melayu tidak minat perkhidmatan awam

Kit Siang: Tiada bukti bukan Melayu tidak minat perkhidmatan awam

Mar 25, 06 12:18pm
Malaysiakini



Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang mendakwa, kekurangan bukan Melayu menyertai perkhidmatan awam negara adalah ekoran kegagalan pencapaian matlamat penstrukturan semula dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Katanya, sebelum pelancaran DEB pada 1971, komposisi kaum dalam perkhidmatan awam Malaysia adalah terdiri daripada 60.8 peratu Melayu, 20.2 peratus Cina, 17.4 peratu India dan 1.6 peratus bangsa lain.

Bagaimanapun, katanya, 35 tahun selepas DEB dilancarkan, peratusan kaum Cina dalam perkhidmatan awam terus merosot daripada 20.2 peratus kepada 9.37 peratus, manakala bagi kaum India pula, peratusannya menurun daripada 17.4 peratus kepada 5.12 peratus.

“Kerajaan mesti serius mencari punca mengapa peratusan kaum Cina dan India semakin merosot dalam perkhidmatan awam 35 tahun selepas DEB, di mana kedudukan kaum Cina merosot sebanyak 10.8 peratus mata manakala kaum India pula merosot sebanyak 12.3 peratus mata, dari tahun 1971 hingga 2006,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sehubungan itu, Lim mahu Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) mengandungi satu rangka tindakan bagi menangani keseriusan kekurangan penyertaan kaum Cina dan India dalam perkhidmatan awam Malaysia.

Beliau menegaskan demikian ketika mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazri Azis bahawa sehingga bulan Jun 2005, terdapat 899,250 kakitangan awam.

Rangka tindakan

Daripada jumlah, 77.04 peratus atau 692,736 adalah Melayu; 84,295 Cina (9.37 peratus); 46,054 India (5.12 peratus); 69,828 bumiputera lain (7.77 peratus) dan 6,337 bangsa -bangsa lain (0.70 peratus).

Lim berkata, perangkaan yang diberikan oleh Nazri di Parlimen kelmarin, menguatkan hujahnya bahawa selepas hampir setengah kurun kewujudan Malaysia, perkhidmatan awam “semakin dianggap sebagai perkhidmatan awam Melayu, daripada perkhidmatan awam Malaysia”.

“Ia adalah antara banyak sebab penyumbang kepada apa yang disifatkan oleh Professor Khoo Kay Kim – yang merupakan salah seorang arkitek Rukun Negara – baru-baru ini bahawa hubungan kaum antara rakyat Malaysia adalah di tahap paling rapuh dalam tempoh 40 tahun,” katanya.

Menurut Lim lagi, adalah terlalu mudah untuk menyalahkan bukan Melayu tidak berminat menyertai perkhidmatan awam malaysia.

Sebaliknya, beliau menegaskan perlunya dikesan apakah yang tidak kena dengan dasar merekrut kakitangan awam sehingga berlakunya keadaan sedemikian.

Lagi pula, tegas Lim, tiada bukti jelas yang menunjukkan yang bukan Melayu tidak berminat menyertai sektor perkhidmatan awam.

Oleh itu, tegasnya, rakyat menunggu kerajaan mengumumkan rangka tindakan untuk memperbetulkan keadaan itu di bawah RMK9 yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Rakyat minggu depan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home