Saturday, March 25, 2006

Akta Kolej dan Kolej Universitu (Auku) masih relevan, kata Dr M

Akta Kolej dan Kolej Universitu (Auku) masih relevan, kata Dr M

Mar 25, 06 12:47pm
Malaysiakini



Akta Kolej dan Kolej Universiti 1971 masih relevan bagi memelihara penuntut daripada diperguna golongan politik untuk kepentingan peribadi, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, akta itu digubal selepas tunjuk perasaan pelajar universiti pada 1971 ekoran hasutan golongan yang mempunyai motif politik yang mendakwa kerajaan mengabaikan rakyat miskin sehingga seorang penduduk Baling mati kebuluran.

"Sebenarnya tidak ada rakyat Malaysia yang mati kebuluran tetapi pelajar kita dipergunakan untuk berdemonstrasi," katanya bagi menjawab soalan seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) mengenai sama ada akta berkenaan masih sesuai pada masa kini.

Dr Mahathir yang diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, menghadiri program "Tun Dr Mahathir Mohamad Bersama Pelajar UUM" di kampus universiti itu di Sintok semalam.

Bekas Perdana Menteri berkata akta berkenaan berjaya menjauhkan pelajar daripada gangguan golongan yang mengkhianati bangsa yang sepatutnya memastikan pelajar menamatkan pengajian bagi membantu kerajaan membangunkan negara.

"Akta inilah yang menyebabkan bilangan yang lulus universiti setiap tahun meningkat," katanya dan menambah pelajar yang mengatakan kerajaan zalim pada masa itu seharusnya menyerahkan biasiswa mereka kepada kerajaan bagi membeli makanan untuk rakyat miskin.
‘Budaya orang kampung’

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, budaya orang-orang kampung khususnya orang Melayu masih teguh dan mereka tidak akan membiarkan di kalangan mereka mati kebuluran.

Dalam ucapannya sebelum itu, Dr Mahathir berkata negara memerlukan rakyat yang berpelajaran tinggi untuk menjadikan Malaysia negara maju.

"Kita telah mencapai sedikit kemajuan dan usaha itu hanya boleh disambung oleh pemimpin yang ikhlas, amanah dan berpengetahuan," katanya.

Dr Mahathir turut menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara Proton dan UUM.

Mengikut MoU itu, Proton akan menyediakan bantuan teknikal dan akademik kepada UUM selain program latihan (internship) dalam anak-anak syarikatnya selain menyediakan bantuan latihan mengajar.

Naib Canselor UUM Datuk Dr Nordin Kardi dan Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir (IPDM) Prof Madya Dr Mustafa Karim menandatangani MoU itu sementara Proton diwakili Pengarah Urusannya, Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir dan Pengarah Eksekutifnya, Datuk Kisai Rahmat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home